Monday 12 November 2012

Seuntai Doa Untuk Sahabat


Apa khabar semua...sy nk kongsi cerita nie dgn korang semua...
saya berharap anda gemari&ambilnya sebagai ikhtibar...Amiin..:)
"Ibu, rasanya semua dah siap kemas, InsyaAllah, bolehlah kita berangkat sekarang. Ayah pun dah tunggu dalam kereta tu". Beritahu Rafiq pada orang tuanya. 
Ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang dilekatkan di sudut bacaan, ditinggalkan sahaja, agar dapat memberi manfaat kepada penghuni yang baru.
Ditatapinya buat kali terakhir. Bilik A-32; bilik yang menyimpan seribu satu kenangan. Diuji dengan pelbagai dugaan semata-mata untuk menjadi seorang daie, untuk meneruskan amanah dan perjuangan Baginda. Namun, dia sedar. Hidayah milik Allah. Dia hanya mampu melakukan yang terdaya, dalam usaha mentarbiah ahli-ahli biliknya.
Lidahnya basah dengan dakwah. Namun, mungkin sahaja dia yang bersalah. Mungkin sahaja method dakwahnya tidak berkesan. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam dirinya. Hanya doa yang akan mengiringi mereka selepas ini. Semoga mereka sentiasa dilindungi Allah.
Sudah 3 tahun Raqib menghuni bilik tersebut. Perasaan sayu bertandang di lubuk hatinya. Sedih. Kini, dia terpaksa meninggalkan bilik itu, kerana sudah tamat pengajian. Mungkin juga untuk selama-lamanya.
* Bertamu Sebuah Memori *
"Ayah, boleh tak, singgah surau? Raqib nak letak buku Fiqah Berinteraksi Dengan Non-Muslim. Dah lama rasanya buku ini bersama Raqib". Pinta Raqib pada ayahnya.
Semoga ianya mampu membuka hati sesiapa sahaja yang membacanya, agar tidak pernah jemu dalam usaha untuk menyebarkan dakwah dan islah sesama manusia. Tidak kira non-muslim atau muslim. Semoga bermanfaat. Itulah niat dan keikhlasan hatinya.
Dia teringat pesan Rasulullah S.A.W. Baginda bersabda, "Jika Allah SWT memberi hidayah kepada seseorang lantaran kamu, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari." (hadis riwayat Tabrani)
Ayah tersenyum. Manis senyumannya. Dia memperlahankan kereta lalu membelok ke kiri menuju ke surau Al-Falah. 
Raqib merenung sudut kiri di hadapan surau tersebut. Butir-butir kristal mula memenuhi kelopak matanya. Namun, ditahan juga, bak empangan yang menakung tadahan. Fikirannya mula terbang melewati episod-episod perjuangan bersama sahabat-sahabatnya. Di situlah tempat Raqib menjalinkan ukhwah bersama-sama sahabatnya. Banyak masanya dihabiskan di situ.
Semuanya terjalin kerana Allah. Daripada usrah, halaqoh, tazkirah, sehinggalah Majlis Ilmu, dan pelbagai lagi proses tarbiah dilakukan. Berat sekali hatinya untuk meninggalkan surau tersebut. Semuanya syabab yang dahagakan ilmu, yang sering meniti dibibir-bibir mereka dengan kalimah memuji kebesaran Rab.
Terlintas kata-kata gurunya sewaktu pengajian dulu. 
"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."(At-Taubah 9:18)
Sering sahaja mereka mengingatkan antara satu sama lain, tentang kelebihan solat berjemaah. Tidak dilupakan juga untuk mengejut sahabat-sahabat ke surau, terutamanya waktu Subuh. Zikir-zikir mengingati Allah juga tidak ketinggalan untuk mereka lafazkan sesama mereka. Solat dhuha, Solat tahajud. Semuanya dilakukan semata-mata mencari keredhaan Allah, serta bimbingan sahabat-sahabat yang sentiasa memperingat antara satu sama lain. Penghayatan akidah juga ditekankan, agar hubungan mantap dengan Rab. Namun, segalanya hanya tinggal memori.
"Ya Allah, berilah kekuatan kepada sahabat-sahabatku, agar mereka sentiasa mampu mengingatiMu. Mungkin sahaja di sini, terdapat rakan-rakan yang mampu mengingatkan kami, satu sama lain. Namun, aku sedar, dugaan diluar lebih besar cabarannya. Teguhkan iman kami, supaya sentiasa berada dalam rahmat-Mu." Bisiknya di dalamm hati. 
Rafiq merenung jauh. Pandangannya melintasi perjuangan Rasulullah SAW, para sahabat dan syuhada di dalam mengembangkan syiar Islam. Janggutnya mula dibasahi air mata yang bercucuran.
Raqib begitu risau akan sahabat-sahabat seperjuangannya. Mampukah mereka istiqamah dalam perjuangan mereka, ketika mereka berada di dunia yang nyata, yang sudah semestinya penuh dengan pancaroba?
* Segalanya Berbeza *
"Semuanya dah berubah, dahulu makmum aku hanya sahabat-sahabat sebayaku, tetapi, sekarang..." Dia bermonolog.
Raqib mengerutkan dahinya. Istighfar membasahi bibirnya. Dia tetap ikhlas menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.
Tidak dinafikan, di mana-mana sahaja surau, pasti hanya akan dipenuhi oleh orang-orang tua sahaja. Adakah surau hanya menjadi tempat-tempat bagi hambaNya yang sudah berusia sahaja?
Segala bisikan syaitan tidak diendahkan. Raqib sentiasa perlu bermujahadah. Mungkin sahaja dia menjadi orang asing di dalam rumah Allah itu, kerana hanya dia sahaja anak muda didalamnya.
Sama juga keadaannya ketika waktu Subuh. Mampukah sahabat-sahabatku bermujahadah untuk berjemaah di surau? Mampukah mereka bangun tatkala manusia lain sedang enak dibuai mimpi, semata-mata untuk melakukan tahajud seperti dahulu? Mampukah mereka meluangkan sedikit sahaja masa untuk melakukan solat Dhuha, seperti juga di kolej dahulu?
Raqib sentiasa husnuzzon dengan sahabat-sahabatnya. Dia tawaduk, menadah tangan mengharapkan rahmat Allah. Hari-hari yang dilalui penuh dengan muhasabah.
"Ya Allah, sesungguhnya hambaMu ini merendahkan diri serendah-rendahnya dihadapanMu. Aku memohon keampunan dariMu. Aku hamba yang banyak melakukan dosa. Jauh sekali untuk menjadi sempurna, bahkan untuk mengharapkan balasan syurgaMu. Aku seringkali tewas dengan hawa nafsu, namun aku juga sentiasa bersyukur kepadaMu kerana Kau masih memberikan aku sinar harapan, peluang untuk sentiasa beribadah kepadaMu. Semuanya atas keizinanmu, ya Allah. Aku bukanlah seorang yang banyak ilmu, tetapi setitis kesedaran yang diberikan Kau takkan ku persia-siakan."
"Bimbinglah sahabat-sahabatku. Semoga mereka sentiasa bermujahadah, meniti hari-hari yang mendatang. Aku tidak mampu untuk berada bersama-sama mereka selama-lamanya, untuk saling memperingati antara satu sama lain. Hanya Kaulah tempat aku berharap, agar Kau sentiasa bersama-sama sahabatku. Berikanlah kekuatan untuk mereka istiqamah, dalam usaha menjadi hambaMu yang bertaqwa". Panjang munajatnya memohon kepada Allah.
"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)." (Az-Zukhruf 43:67) 
"Semuanya dah berubah, dahulu makmum aku hanya sahabat-sahabat sebayaku, tetapi, sekarang..." Dia bermonolog. 
Rafiq menarik nafas perlahan.Kedengaran hembusan kecil dari mulutnya. Kemudian istighfar membasahi bibirnya. Dia tetap ikhlas menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.

No comments: