Sunday, 18 November 2012

BAHAGIA SEKIRANYA MENGENAL ALLAH..^__^



BAHAGIA SEKIRANYA MENGENAL ALLAH..^__^

Mengapa dicintai bukan mencintai?
Cuba renungkan seketika, tatkala Allah membenci kita adakah kita mampu untuk beribadah kepada Allah? Tidak! Kerana segala amal dan ibadah yang kita lakukan kepada Dia adalah atas rahmat, kurnia dan cintaNya terhadap diri kita bukan atas kudrat kita sendiri.
Ada satu riwayat kisah yang menyatakan sedemikian, yakni ada seorang tabii'n terbangun pada waktu malam dan melihat hambanya khusyuk beribadah dan bermunajat kepada Allah. Beliau terdengar hambanya berkata, "Ya Allah, demi cintaMu padaku..." lalu beliau menegurnya, "Seharusnya engkau mengatakan demi cintaku kepadaMu..." Tetapi hamba itu menjawab kembali, "Jika Allah tidak mencintaiku, mengapa dia membangunkanku untuk beribadah kepadaNya dan membiarkan kau tidur". Subhanallah, hebatnya cinta Allah kepada hamba-hambaNya.
Apabila seseorang hamba dicintai Allah maka dia akan diberi kefahaman agama oleh Allah. Itu sudah cukup bagi mereka untuk mendepani kegilaan dunia ini yang sering menduga dan menguji keteguhan iman. Dalam hidup mereka susah senang tidak menjadi isu, tetapi redha Allah. Di situ lah kebahagiaan akan tercipta.
Takdir yang menimpa akan diolah dengan seni jiwa kehambaan. Yang tampak indah akan diawasi agar tidak hanyut dan leka. Yang tampak berbentuk musibah dihiasi dengan kesabaran. Kesabaran itu suatu kurniaan yang paling besar untuk seorang mukmin. Satu hadis qudsi berbunyi, "Timpakanlah kepada hambaKu musibah kerana aku ingin mendengar mereka merintih kepadaKu"
Wajarlah saat kita berkata, "Kebahagiaan itu bukan dicari tetapi diraih!" Sesungguhnya terdapat seribu satu kebahagiaan lagi di sisi kita yang kita tidak sedar. Mereka tersembunyi dalam sudut hikmah dan ibrah. Hanya dapat disingkap oleh tingkah laku manusia Ulul Albab dan orang-orang mukmin.
Dalam Al-Quran ada banyak ayat yang menyebut, "Bahawa orang-orang beriman itu tidaklah berasa takut dan bersedih hati." Kerana mereka insan yang mengenal Allah dan seluruh sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya. Sentiasa bersangka baik dengan Allah dan tidak menduga-duga takdirNya dengan suatu kesan dan hasil yang buruk.
Firman Allah yang bermaksud;
"Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah. Tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."
(Surah Yunus ayat 62)
Sesungguhnya Islam itu terlalu indah. Seharusnya kita masuki Islam secara menyeluruh bukan secara berjuzu'. Maka dengan itu kita akan mampu keluar daripada tipu daya nafsu dan syaitan. Bebas daripada segala harapan palsu dan berjaya menuju hakikat hidup yang menempatkan kebahagiaan sejati yakni redha ilahi.
Justeru, bermula saat ini, marilah sama-sama kita mengorak usaha untuk mencipta takdir masuk ke SyurgaNya. Bersungguh-sungguhlah kita dan jangan lupa untuk bertawakal kepadaNya. Moga dengan mendekati Allah SWT, akan ada kebahagiaan dan kedamaian untuk kita, di dunia jua di akhirat sana.
Wallahu Anta A'lam.